Mengukuhkan penghayatan ugama dalam kalangan murid




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama





KILANAS, Jumaat, 1 Mei. - Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, beriman, beramal dan bertakwa, sekolah-sekolah ugama di negara ini mengadakan Majlis-majlis Khatam Al-Quran sebagai wadah bagi meraikan murid-murid Darjah 6 yang telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.


Majlis seumpamanya merupakan salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa dalam usaha memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan ugama yang berkesan dan dapat membaca Al-Quran dengan baik.


Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam (SU PAPAUKAI), Kampung Mulaut bersama Sekolah Ugama Katimahar baru-baru ini mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Murid-murid Darjah VI di Dewan Serbaguna SU PAPAUKAI, bagi meraikan seramai 35 peserta khatam gabungan kedua-dua buah sekolah berkenaan.


Hadir selaku tetamu khas majlis, Timbalan Ketua Khidmat Pergigian (BANTU), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Mohammad Azhan bin Haji Ahmad, yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.


Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam serta persembahan dikir. Acara disusuli dengan penyampaian sijil khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.


Pada masa yang sama, majlis seumpamanya juga turut diadakan di Sekolah Ugama Masin yang bertempat di sekolah berkenaan bagi meraikan seramai enam murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.


Hadir selaku tetamu khas majlis, Penolong Pengarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Kementerian Pertahanan, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Kamis, yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan juga menyampaikan sijil kepada para peserta Khatam.


Majlis-majlis Khatam Al-Quran di persekolahan ugama merupakan usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam mengukuhkan penghayatan ugama dalam kalangan murid serta mengembangkan syiar Islam di negara ini.


Close